Kewibawaan Veda atau Sruti Hinduisme

  • Setiap mazhab dalam agama Hindu menerima bahawa Veda merupakan khazanah rukun kerohanian yang abadi. Rukun-rukun kerohanian ini menyentuh tentang Tuhan, roh dan alam semesta. Rukun-rukun ini adalah abadi, tidak berubah dan tidak boleh diubah. Sama ada manusia menerimanya, atau melupakannya, rukun-rukun ini akan tetap wujud. Para Rishi telah menemui rukun-rukun kerohanian ini dan mengajarnya kepada manusia sejagat.
  • Semua pendapat, pandangan dan ajaran agama Hindu adalah berasaskan kepada rukun-rukun dalam Veda. Namun, agama Hindu bukan statik atau rigid. Selagi rukun-rukun asas dipatuhi, manusia bebas mengubah cara hidupnya mengikut kehendak zaman dan persekitarannya. Bagi tujuan ini, agama Hindu memberikan Smriti. Dari zaman ke zaman, Smriti telah diubah oleh golongan wali mengikut keperluan dan kehendak masa dan tempat. Demikian, tetap dan teguh dalam hal-hal fundamental dan sedia berubah dan menyesuaikan diri dalam hal-hal sampingan adalah rahsia agama Hindu masih bertahan selama ini.

Sifat ketuhanan setiap mahkluk

  • Ketuhanan manusia adalah salah satu unsur utama agama Hindu. Ketuhanan ialah sifat semulajadi roh manusia. Setiap manusia berpotensi menjadi alim dan menyerlahkan ketuhanan ini dalam setiap tindakannya. Manusia tidak akan laknat dan melarat dalam neraka selama-lamanya untuk sebarang dosa. Dosa itu hanyalah kesilapan yang dilakukan dalam keadaan jahil. Ini merupakan satu ciri utama agama Hindu yang amat berbeza dengan agama-agama Semitik (Yahudi, Kristian, dan Islam) yang menekankan idea dosa dan neraka yang abadi.
  • Memang manusia akan mendapat hukuman untuk dosanya di dunia ini atau dalam kelahiran lain. Namun, dia  akan menjadi matang dengan menderita dan dia akan mara ke arah Tuhan dari kelahiran demi kelahiran. Demikian, akhirnya  manusia mencapai Tuhan. Setiap manusia akan mencapai keadaan ini. Maka, setiap pendosa masih mempunyai harapan untuk menjadi seorang yang mulia. Oleh itu, masyarakat harus melihat mereka dengan penuh simpati dan membantu mereka keluar daripada kejahilan dan dosa. Sebenarnya, selagi manusia tidak menyedari kesatuannya dengan Tuhan dan mengaitkan dirinya dengan badan dan dunia material, dia hidup seperti binatang. Namun, agama Hindu tidak menakutkannya dengan neraka yang abadi. Sebaliknya, agama Hindu membantu manusia secara perlahan-perlahan untuk melepaskan sifat kehaiwanan dan mencapai kemuliaan.

Kewujudan Tuhan dalam segala-galanya

  • Tuhan dalam agama Hindu bukan seorang raja yang bersemayam di tahktanya di atas langit. Tuhan berada dalam segala-galanya, yang hidup mahupun yang bukan hidup. Di sebalik semua kepelbagaian dalam alam, Tuhan wujud sebagai benang dalam kalungan mutiara. Dia menjadi asas segala-galanya. Dia menjadi Antaryami atau surat hati dalam setiap jiwa. Maka, Hinduisme menyatakan bahawa kesamaan dalam kepelbagaian adalah satu rukun asas alam.    

Kepelbagaian nama dan rupa

  • Agama Hindu seringkali dianggap sebagai agama yang beraliran politeisme kerana memuja banyak Dewa, namun tidaklah sepenuhnya demikian. Dalam agama Hindu, Dewa bukanlah Tuhan tersendiri. Menurut umat Hindu, Tuhan itu Maha Esa tiada duanya. Dalam salah satu ajaran falsafah Hindu, Advaita Vedanta menegaskan bahawa hanya ada satu kekuatan dan menjadi sumber dari segala yang ada (Brahman), yang memanifestasikan diri-Nya kepada manusia dalam pelbagai bentukTuhan ialah satu dan tiada yang dua. Namun, Tuhan yang mencipta dunia yang penuh variasi, juga mengambil pelbagai bentuk dan rupa. Ini bukan bermaksud terdapat ramai tuhan-tuhan Hindu. Tuhan hanya satu. Cuma nama dan rupa-Nya yang berbeza-beza. Manusia bebas memilih nama dan rupa yang disukainya untuk menyembah Tuhan. Agama Hindu tidak mendesak semua orang untuk menerima dan menyembah hanya satu rupa sahaja. Ini adalah satu ciri unik agama Hindu. Matlamat hidup ialah untuk mencapai Tuhan. Tidak kira jalan mana yang diambil, asalkan seseorang sampai ke destinasinya dalam kadar segera. Sebenarnya matlamat tidak dapat mensucikan cara.

Samsāra, Kelahiran Semula dan Doktrin Karma

  • Perkataan 'samsāra' adalah amat penting dalam kamus Hinduisme. ‘Samsāra’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘sri’ bermaksud melalui dan ‘sam’ bermaksud dengan bersungguh-sungguh. Menurut agama Hindu (Bhagavad Gita VIII.16), manusia perlu melalui beberapa kelahiran di bumi dan di alam lain. Kelahiran semula roh (samsriti) ialah maksud sebenar perkataan samsāra.    
  • Seluruh pendirian Hinduisme, bergantung kepada idea samsāra ini. Perkataan ini juga merangkumi seluruh perspektif kehidupan seorang Hindu. Mengapa melakukan upacara kematian Sraddha untuk saudara-mara yang telah meninggal dunia? Kerana orang Hindu percaya bahawa mereka masih hidup dalam alam lain atau di bumi ini dalam badan yang lain. Kenapa seorang wanita Hindu mengambil ikrar brahmacharya selepas kematian suaminya? Kerana dia berharap untuk bertemu semula dengan suaminya selepas kematiannya sekiranya dia menjalani kehidupan yang suci. Orang Hindu melakukan pelbagai kebajikan dan aktiviti amal kerana mereka percaya pahala yang terkumpul akan memberikan mereka nikmat selepas kematian. Mereka mengelakkan perbuatan yang keji atau dosa kerana mereka akan laknat selepas mati. Demikian, banyak kepercayaan dan upacara amal orang Hindu dipengaruhi oleh idea samsāra.   
  • Manusia tidak akan lenyap selepas kematian. Sebelum hidup ini, manusia telah melalui pelbagai bentuk kehidupan lain. Dalam Bhagavad Gita IV.5, Bhagavan Sri Krishna berkata kepada Arjuna, 'Wahai Arjuna, kita telah melalui beberapa kelahiran sebelum ini. Cuma saya masih mengingatinya, tetapi kamu tidak.’ Sri Krishna juga meneruskan lagi, ‘Sesungguhnya kelahiran diikuti dengan kematian, dan kematian diekori dengan kelahiran.’ (Bhagavad Gita II.27) Kelahiran berulang kali tidak dapat dielakkan selagi roh menyedari Ketuhanannya. Seseorang lahir dengan badan baru dan tinggal beberapa lama sehingga badan menjadi uzur dan akhirnya mati. Namun, roh tidak berubah. Apabila badan yang dihuninya tidak boleh digunakan lagi, roh keluar dari badan itu. Selepas beberapa lama di alam lain untuk menikmati pahala atau dosanya, roh akan lahir semula dalam badan baru. Oleh itu, alam lain itu dikenali sebagai bhogabhumi (bumi pengalaman). Bumi kita di mana roh lahir untuk mencari kesempurnaan dinamakan karmabhumi (bumi tindakan). Selagi roh mencapai kesempurnaan, kelahiran semula tidak boleh dielakkan. Selama itu, roh dikatakan berada dalam pengabdian (baddha). Keperluan untuk melalui pelbagai dunia (samsara) adalah suatu pengabdian.  
  • Kenapa seseorang harus lahir berulang kali? Kitab-kitab suci agama Hindu telah menjawab ini dengan amat jelas. Ketuhanan dalam manusia hanya akan terserlah apabila mindanya menjadi suci sepenuhnya. Namun, ini akan memakan masa yang agak lama. Badan tidak boleh bertahan lama. Jadi, kerja menyucikan minda tidak boleh dihabiskan dalam satu jangka hidup. Oleh itu, kita perlu melalui beberapa kelahiran untuk menyucikan minda kita.
  • Dunia ini penuh dengan pelbagai perkara yang memberikan suka dan duka. Manusia ingin menikmati sesuatu atau menghindari sesuatu. Fikiran manusia penuh dengan pelbagai keinginan (kama). Bagi memenuhi keinginannya, manusia perlu berusaha dalam hidupnya. Namun, keinginan tidak berakhir. Sebaliknya, keinginan makin lama makin bertambah. Apabila satu keinginan dipuaskan, timbul keinginan lain! Maka, manusia menghabiskan hidupnya untuk memuaskan keinginannya yang  tidak terputus.
  • Apa sahaja yang dilakukan untuk memuaskan keinginan, akan pasti membawa kesannya, sama ada suka atau duka. Setiap tindakan (karma) akan membawa hasilnya (karmaphala), sama ada cepat atau lambat. Tindakan yang baik (shubha karma) akan menghasilkan kebahagiaan. Tindakan yang jahat (ashubha karma) akan menghasilkan kesengsaraan. Manusia sentiasa mempunyai kedua-dua keinginan baik dan jahat. Ini mendorong mereka melakukan tindakan yang baik dan jahat, dan mengumpul kebahagiaan dan kesengsaraan sebagai hasilnya.
  • Dalam sesuatu kelahiran, manusia menghabiskan hanya sebahagian hasil karma lamanya. Bahagian ini dikenali sebagai prarabdha. Baki yang perlu dialami dalam kelahiran akan datang dikenali sebagai samchita. Hasil daripada tindakan kini akan terkumpul sebagai kriyamana. Maka, manusia melalui kelahiran demi kelahiran untuk menikmati hasil tindakannya sendiri.
  • Seseorang lahir tanpa penglihatan. Kekurangannya mungkin disebabkan sesuatu faktor fizikal. Namun, penderitaan yang dialaminya akibat kurang penglihatan adalah disebabkan sesuatu tindakannya dalam kelahiran lamanya. Seringkali, manusia menyumpah nasih buruknya sekiranya dia gagal selepas berusaha penuh. Adakalanya, tanpa sebarang usaha, manusia memperolehi sesuatu dan memuji tuahnya. Nasib baik dan buruk ialah sebenarnya hasil tindakan lama (karma phala) seseorang. Maka, agama Hindu mengatakan bahawa sebenarnya tidak ada nasib baik atau nasib buruk. Betapa manusia mencuba, dia tidak boleh mengelakkan hasil baik buruk tindakannya. Kemungkinan ini menakutkan seseorang, tetapi doktrin karma adalah kunci kepada masa depan manusia. Manusia dapat mengawal masa depannya dengan melakukan tindakan yang akan memastikan kebahagiannya. Setiap manusia ialah pereka masa depannya. Sekiranya seseorang mengelakkan perbuatan-perbuatan keji yang dilarang oleh kitab-kitab suci, dan melakukan kerja-kerja baik, masa depan yang baik menantinya.
  • Demikian, atas dorongan keinginan (kama), manusia melakukan sesuatu karma. Setiap karma menghasilkan suka atau duka sebagai hasilnya. Bagi menikmati hasil karma, iaitu suka atau duka, manusia perlu melalui kelahiran demi kelahiran. Dengan cara ini, manusia berguling dalam suatu roda kelahiran dan kematian yang tiada henti. Inilah dinamakan samsara.

Mukti (Kebebasan)

  • Apakah caranya seseorang dapat melepaskan dirinya daripada kitaran samsara? Dunia penuh dengan pelbagai nikmat. Namun, semua nikmat ini tidak memberikan manusia kepuasan. Manusia sentiasa mendahagakan sesuatu. Dia mahu lebih banyak kekayaan, lebih banyak kuasa, lebih banyak ilmu dan lebih banyak kegembiraan. Keinginan sentiasa meningkat tanpa berhenti. Namun, bersama-sama segala nikmat dan kegembiraan, penderitaan, perpisahan, penyakit, kegagalan, dan akhirnya kematian turut mengekori manusia.
  • Adakah sebarang cara untuk melepaskan diri daripada semua ini? Hinduisme menunjukkan jalannya. Ya, manusia boleh membebaskan dirinya daripada segala penderitaan dengan menyedari Tuhan dan sifat ketuhanannya.
  • Kebebasan daripada samsara disebut sebagai Mukti. Orang yang bebas atau mukta purusha sedar bahawa Tuhanlah diri sebenarnya. Dengan menyedari identiti sebenarnya, dia menjadi tenang. Dia tidak lagi terpedaya dengan sebarang nikmat duniawi. Dia bebas daripada segala penderitaan dan ketakutan.  
  • Menurut Hinduisme, setiap makhluk sama ada sedar atau tidak, ingin mencapai Mukti. Apabila seseorang berusaha untuk mengecapi kegembiraan atau ilmu, atau apabila seseorang cuba untuk menyelamatkan diri daripada maut, sebenarnya dia sedang berusaha untuk menyedari Ketuhanannya sendiri. Bukankah kegembiraan, ilmu dan keabadian ialah ciri-ciri semulajadi roh atau Atman? Namun, usaha untuk mencari kegembiraan, ilmu dan keabadian dalam dunia fana tidak akan memberikan manusia kepuasan berterusan. Kegembiraan, ilmu dan keabadian yang sebenarnya wujud dalam diri manusia sendiri. Dengan menyedari ketuhanannya, manusia mencapai samudera Satchidananda iaitu Kewujudan-Ilmu-Kebahagiaan Abadi.  
  • Oleh itu, agama Hindu mendesak manusia untuk berusaha bersungguh-sungguh sejak kecil lagi untuk mencapai Mukti. Bukannya mudah untuk melepaskan diri daripada belenggu duniawi dan berusaha untuk Mukti! Jalannya jauh lagi penuh dugaan. Seseorang mungkin perlu mengambil beberapa kelahiran sebelum mencapai destinasinya (Bhagavad Gita VI.45). Oleh itu, agama Hindu menunjukkan langkah demi langkah untuk mencapai matlamat ini. Inilah sebenarnya yang disebut sebagai agama atau Dharma yang praktikal.  
  • Bagi mencapai Mukti agama Hindu menunjukkan dua jalan yang dikenali sebagai Pravritti Marga dan Nivritti Marga.

Pravritti Marga

  • Kebanyakan orang tidak boleh melepaskan nikmat duniawi dalam sekelip mata. Sebaliknya, kebanyakan orang akan terperanjat dengan idea pelepasan. Manusia biasa, seperti kanak-kanak, ingin untuk menikmati dunia ini. Bagi orang-orang begini, agama Hindu menyarankan suatu jalan yang dikenali sebagai Pravritti Marga (Jalan Keinginan). Jalan ini membenarkan manusia biasa merasakan nikmat duniawi dan juga nikmat di alam lain seperti syurga. Seseorang yang mengikuti Pravritti Marga akan dapat mengurangkan penderitaan dan menambah kebahagiaan di dunia dan di syurga. Malah melalui proses ini juga mereka dapat menyucikan sedikit minda mereka secara perlahan-lahan. Sebenarnya, Pravritti Marga ialah suatu disiplin awal. Pravritti Marga terkandung dalam bahagian Karma Kanda dalam Veda. Purva Mimamsa Darsana menjelaskan jalan ini dengan lebih terperinci.

Nivritti Marga

  • Terdapat segelintir manusia yang telah bosan dengan dunia ini. Mereka tidak berminat untuk mencari sebarang keseronokan atau nikmat duniawi. Mereka sedar bahawa dunia ini adalah fana dan bahawa nikmat duniawi tidak memberikan kepuasan selama-lamanya. Bagi golongan ini, agama Hindu menyarankan Nivritti Marga (Jalan Pelepasan). Golongan ini layak untuk melepaskan semua nikmat duniawi dan berusaha untuk mencapai Tuhan. Bahagian Jnana Kanda dalam Veda memberikan kaedah-kaedah Nivritti Marga ini. Maka, Hinduisme membimbing manusia untuk mencapai Mukti melalui dua jalan ini. Dengan mengikuti Pravritti Marga, seseorang akan akhirnya sampai ke Nivritti Marga. Perjalanan hidup akan tamat apabila semua belenggu duniawi diputuskan dan Ketuhanan terserlah. Demikian, manusia bebas daripada samsara dan mencapai Mukti.